Monday, October 29, 2001

Kerajaan sedia swastakan IWK - PM

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedia menswastakan semula Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd., dengan syarat pihak swasta yang berminat mesti melabur di dalam syarikat itu.

Menurut Dr. Mahathir, pihak swasta yang terlibat tidak boleh mengharapkan bantuan kerajaan kerana kos menguruskan perkhidmatan IWK adalah tinggi iaitu RM10 bilion bagi tempoh 10 tahun.

``Sekarang ini kerajaan sedang cuba menyusun semula (operasi) IWK kerana kosnya yang tinggi.

``Ada juga sektor swasta yang berminat (mengambil alih) tetapi kita punya syarat ialah mereka mesti melabur, tidak boleh mengharap kepada kerajaan memberi bantuan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Persatuan Air Antarabangsa (IWA) Mengenai Air dan Sisa Air Bagi Negara-Negara Sedang Membangun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Menurut Perdana Menteri, biarpun ada beberapa syarikat menunjukkan minat untuk mengambil alih IWK, kerajaan perlu membuat penilaian dengan penuh berhati-hati.

``Ini kerana, kita pernah menswastakan kepada satu syarikat dan apa yang mereka lakukan ialah bukannya menguruskan (perkhidmatan) termasuk loji rawatan air tetapi sibuk menjual saham dan syarikat mereka satu demi satu.

``Nilai (saham) syarikat meningkat tetapi tidak ada sesuatu apa pun (perkhidmatan) yang dilakukan,'' katanya.

Pada 23 Jun tahun lalu, kerajaan melalui Menteri Kewangan diperbadankan telah mengambil alih IWK Sdn. Bhd. secara rasmi daripada Prime Utilities Holdings melibatkan pembayaran pemilikan sebanyak RM192 juta.

Tanggungjawab IWK semasa diswastakan pada 1993 ialah mengendali dan menyenggara lebih 8,000 loji rawatan kumbahan awam, menyelia lebih 10,000 kilometer rangkaian paip pembetungan, mengosongkan tangki septik serta merawat enap cemar najis daripada lebih 1.2 juta tangki septik.

IWK juga bertanggungjawab mengawasi dan memeriksa sisa daripada loji-loji rawatan kumbahan awam supaya sentiasa menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Kesemua ini melibatkan kos RM30 bilion sepanjang tempoh konsesi 28 tahun untuk membangun dan mengendalikan sistem pembetungan awam di 144 pihak berkuasa tempatan.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan positif kurang daripada satu peratus pada suku tahun ketiga 2001.

``Hampir sama dengan pertumbuhan ekonomi pada suku tahun kedua, ada sedikit positif. Mungkin 0.5 peratus, kurang daripada satu peratus,'' katanya.