Monday, October 29, 2001

Negara membangun harus ada dasar bolehkan pengurusan air secara berkesan

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, negara-negara membangun harus mempunyai suatu dasar untuk membolehkan peraturan dan pengurusan sumber air ditadbir secara berkesan.

Dalam hal ini, beliau berpendapat sebuah badan yang mewakili negara-negara membangun perlu diwujudkan untuk memainkan peranan menyelidik dan membangunkan pengurusan air dan sisa air.

``Kita tidak mahu menyekat pembangunan tetapi kita perlu berhati-hati dan cekap mengurus sumber air.

``Kita boleh belajar di antara satu sama lain untuk mengelak daripada mengulangi kesilapan negara-negara maju dan juga kesilapan sendiri,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Persatuan Air Antarabangsa (IWA) Mengenai Air dan Sisa Air Bagi Negara-negara Sedang Membangun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Dr. Mahathir berkata, Malaysia bersedia mencadangkan idea itu kepada ASEAN agar kerjasama mengenainya dapat dibentuk di kalangan negara anggota.

``Ideanya ialah untuk bekerjasama sebab sesetengah negara ada banyak air, beberapa negara lain tidak mempunyai sumber dan yang lain pula tidak mempunyai pengurusan air yang tersusun,'' katanya.

Malah di Malaysia sendiri, Perdana Menteri memberitahu kedudukan sumber air dan pembangunan berkaitan berada di tempat yang salah.

``Pantai Barat (kurang air) tetapi lebih membangun sedangkan Pantai Timur yang mempunyai lebih banyak air, kurang membangun.

``Apabila kita hendak pindahkan air dari sesuatu tempat, akan ada aktivis alam sekitar yang menentang dan mengatakan kita tidak patut gunakan air. Mereka lebih rela kita mati kehausan daripada menggunakan air disebabkan alam sekitar,'' katanya.

Dr. Mahathir menegaskan beliau menyokong pengekalan alam sekitar tetapi berpendapat ia perlu mengimbangi keperluan manusia.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menekankan pentingnya penubuhan sebuah badan yang mewakili negara-negara membangun dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan air serta pengurusan sisa air.

``Saya yakin pertubuhan sedemikian dapat membantu negara-negara membangun dari segi memberi nasihat mengenai pengurusan air dan alam sekitar,'' katanya.

Menurut beliau, kebanyakan negara membangun menghadapi masalah kekurangan air termasuk negara-negara yang kaya air seperti Malaysia.

Katanya, ini disebabkan pengagihan yang tidak sejajar dengan jumlah penduduk dan industri sehingga mengakibatkan kekurangan air di kawasan yang lebih membangun dan padat penduduk.

Beliau mengambil contoh negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Perlis, Melaka dan Kuala Lumpur sering menghadapi kekurangan bekalan air dan pemindahan air dari negeri lain adalah perlu.

``Kekurangan air itu juga boleh berlaku disebabkan pencemaran berpunca daripada pembangunan tanpa kawalan di kawasan berhampiran sungai dan laluan air,'' katanya.

Sementara itu ditanya oleh pemberita mengenai tindakan kerajaan Terengganu membenarkan pembalakan di kawasan seluas 4,000 hektar di Sungai Paka, mukim Besol, Dungun, yang dikhuatiri menjejaskan sumber air, Perdana Menteri berkata:

``Inilah masalah apabila ada kerajaan yang mempunyai kuasa terhadap perkara ini mereka tidak bertanggungjawab, sebaliknya lebih utamakan pendapatan, berniaga dan sebagainya.

``Jadi banyaklah kerosakan yang berlaku kerana mereka tidak ada kawalan sama sekali,'' katanya.

Mengenai dakwaan permit membalak itu diberikan kepada ahli Pas, Perdana Menteri berkata, kerajaan memang mengetahui perkara itu tetapi tidak dapat mengesahkannya.



 
Tajuk-tajuk Berita
------------------------------------------------------------------------
* Pentadbiran jabatan dikaji -- PM: Sistem pemantauan tanah rizab Melayu tidak berkesan
* Banjir kilat melanda Kl
* Kerajaan perlu tangani isu pengganas cara sendiri - Musa
* TNB catat rekod keuntungan RM2.193 bilion
* Pengawal keselamatan mati ditembak lelaki cemburu
* PPRT: Sikap pilih kasih dikesali
* Dr. Mahathir patut jadi rujukan pentadbiran Bush - Prof. Plate
* Negara membangun harus ada dasar bolehkan pengurusan air secara berkesan
* Kerajaan sedia swastakan IWK - PM
------------------------------------------------------------------------









Ikuti

Laporan Penuh

Liputan Khas

Utusan di Pakistan

Salam Online


www.tutor.com.my










------------------------------------------------------------------------
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my
------------------------------------------------------------------------

0 Comments:

Post a Comment

<< Home